“TERTARIK sungguh tentang kisah jangan ganggu suami orang dua minggu lalu. Namun pada saya, biasanya lelakilah yang buka jalan mengganggu, melayan dan menggoda kaum wanita, tak kiralah isteri atau tunangan orang. Jadi jangan salahkan kaum wanita seratus peratus jika mereka mencintai suami anda. Namun memang ada wanita sengaja menggoda suami orang dengan niat mencari kemewahan hidup.
“Saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Suami punyalah cintakan saya dan anak-anak setengah mati, tak pernah marah malah panggil saya sayang, beri hadiah setiap ulang tahun perkahwinan kami dari tahun pertama hingga lebih sepuluh tahun. Tetapi siapa sangka dengan cinta itulah juga dia ditangkap basah dengan wanita lain.” Itu cerita Shery Jumaatul dalam e-melnya.
“Secara jujurnya, memang saya tak sangka langsung bila adik saya bercerita dia nampak Shaharul makan dengan wanita lain. Saya kata mungkin kawan pejabatnya. Kali kedua, kawan baik saya juga bawa cerita yang sama. Walaupun mulut saya nafikan, tapi dalam hati mula berdetik. Apakah benar Shaharul bercinta dengan wanita lain? Sebab setiap malam dia sentiasa di rumah kecuali jika banyak kerja. Tapi siapa sangka air yang tenang tak ada buaya.
“Satu malam saya dikejutkan berita suami kena tangkap basah. Menggeletar lutut, apakah ini benar atau ada orang nak perangkap Shaharul. Sifat sayang terus membela suami kerana terlalu percayakan dia. Subuh suami balik beritahu dia kena perangkap, katanya kawan dia punya hal, dia pula kena tangkap. Simpati saya pada suami melonjak tinggi. Tapi persoalannya, mengapa dia ada di tempat kejadian. Takkan kawannya tinggalkan kekasihnya kepada Shaharul.
“Sepanjang hari dan malam saya tak boleh tidur. Saya ambil cuti dua hari semata-mata untuk berfikir, ketika itulah saya teringat nasihat kawan, katanya dalam perkahwinan ini kita jangan jadi lurus bendul, percayakan suami seratus peratus, sebab takut satu hari nanti, saya boleh mati terkejut atau masuk hospital bahagia! Saya tak percaya – mengarut!
“Kini nasi dah jadi bubur. Shaharul beritahu dia akan ke mahkamah syariah menafikan hubungan . Dia mengaku diperangkap. Dalam tangisan kerana terlalu sayang, saya percaya pengakuan Shaharul, pasti mereka tidak akan dipaksa kahwin.
“Lepas dua hari saya ke pejabat, rupanya cerita Shaharul dah jadi topik hangat, rahsia dah pecah. Malunya hanya Allah sahaja yang tahu. Balik dari pejabat, saya tanya Shaharul benarkah dia ditangkap di hotel bukan dalam kereta kawannya. Shaharul tak boleh berbohong lagi. Hancur hati saya, Shaharul sanggup berbohong kali kedua.
“Tapi alasannya dia tak mahu saya terkejut. Katanya dia dipanggil oleh kawannya untuk berjumpa di bilik. Ketika tiba, kawannya keluar beli makanan, konon ceritanya masa itulah mereka ditangkap. Ketika itu saya sudah tidak mahu percaya lagi cerita Shaharul.
“Bila saya tanya sudahkah dia jumpa pegawai di mahkamah syariah sebelum kesnya dipanggil, katanya belum. Pelbagai alasan diberi. Kepercayaan saya semakin terhakis. Saya biarkan dia bercerita dengan harapan kepalsuan akan terserlah jua.
“Saya ambil EL (cuti kecemasan) lagi untuk hubungi adik, kerana saya kira dia boleh bantu saya mengurangkan sesak di dada. Adik berjanji akan siasat kes Shaharul. Petang itu juga segalanya terbongkar. Memang Shaharul ditangkap. Cerita konon dia diperangkap dan kerana kawannya, semuanya bohong. Hancurnya hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“Kerana tidak tertahan menahan luka di hati, malam itu saya suruh Shaharul berterus terang. Deretan soalan sudah saya susun, ‘sudah berapa lama berkawan? Siapa wanita itu, janda ke, anak dara atau isteri orang? Kerja di mana? Soalan terakhir, adakah mereka hendak kahwin.’ Malangnya semua soalan saya Shaharul nafikan. Dia masih kata kena perangkap. Nasihat saya jangan bohong. Dosa yang ada tak tertanggung beratnya nak tambah dosa baru?
“Dua hari kemudian saya beritahu Shaharul saya sudah tahu siapa wanita tersebut. Pucat muka Shaharul, dia tidak boleh berdalih lagi. Akhirnya mengaku. Asalnya mereka hanya berkawan tapi tak sangka boleh terikat, dan keluarga wanita itu yang beritahu pegawai pencegah maksiat supaya mereka ditangkap, sebab mereka tak mahu bersubahat.
“Jelaslah selama ini Shaharul berbohong mencintai saya, sebenarnya dia ada teman wanita lain. Saya beritahu Shaharul saya tak larang jika dia nak kahwin, tetapi ada syaratnya. Mesti ceraikan saya. Tetapi Shaharul bantah, konon dia cintakan saya dan anak-anak.
“Shaharul mulalah memburuk-burukan keluarga wanita tersebut sebab paksa dia kahwin dan sanggup pasang perangkap. Tapi saya tak salahkan wanita itu dan keluarganya. Kerana sebagai lelaki, dia mesti bertanggungjawab atas perbuatan kejinya.
“Kebencian saya pada Shaharul sampai ke puncak. Lantas saya izinkan mereka kahwin segera, dengan syarat dia mesti serahkan hak rumah yang kami baru beli ini kepada saya dan anak-anak, di samping dia mesti bayar ansuran rumah dan beri nafkah anak-anak. Shaharul amat gembira dan berjanji akan patuhi syarat yang saya buat.
“Tapi biasalah bab berjanji memang tak ada masalah, tapi untuk kotakan janji itulah pelbagai masalah timbul. Awal tahun ini saya ingatkan Shaharul jika dia tidak dapat penuhi janjinya, lebih baik ceraikan saya. Seminggu dia tak balik rumah kerana marah. Tindakan kedua saya lakukan melonggokkan pakaiannya di ruang tamu dan saya suruh dia keluar dan tak payah balik lagi.
“Nasihat saya pada Shaharul, bahawa setiap perkahwinan mesti ada 3 perkara pokok, pertama kepercayaan, kedua bertolak ansur dan ketiga saling hormat menghormati. Jika hidup sentiasa berbohong – isteri hilang kepercayaan, bila dah tak percaya sudah tentu tidak boleh bertolak ansur, jadi untuk apa gunanya perkahwinan itu, lebih baik dibubarkan.
“Pada saya kepercayaan adalah teras penting dalam keluarga, sekali saya hilang kepercayaan memang susah hendak dibina semula. Walaupun saya belum diceraikan lagi, tapi hati dan jiwa saya sudah tidak lagi menyayangi Shaharul, sebaliknya saya anggap dia sebagai beban yang menyusahkan hidup saya.” Itu cerita Shery Jumaatul tentang nasibnya